Baru-baru ini tular video memperlihatkan aksi biadab dan tidak bertamadun seorang remaja yang membaling botol arak dari balkoni sebuah pangsapuri ke arah lebuh raya.
Perbuatan yang dilakukannya di saat trafik sedang sesak bukan sahaja dikecam netizen, malah mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana membahayakan nyawa orang awam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi sudah mengenal pasti lelaki terbabit dan telah diberkas.
Noor Dellhan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berjaya menangkap lima individu yang terdiri daripada tiga lelaki dalam lingkungan usia 21 hingga 24 tahun serta dua perempuan, masing-masing berusia 23 tahun pada 4 Februari di antara jam 3.45 petang hingga 9.15 malam bagi membantu siasatan.
Pada 5 Februari di antara jam 1.30 hingga 2.15 pagi pula, polis berjaya menangkap dua lagi individu iaitu seorang lelaki berusia 20 tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun.
“Hasil dari tangkapan, pihak polis telah merampas satu telefon bimbit dan sepasang pakaian.
“Seramai dua orang ditahan reman selama tiga hari hingga 7 Februari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995,” katanya.
Dalam pada itu, hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis ketamin dan kini disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya, manakala yang lain negatif.
“Polis menasihati mana-mana yang terkesan akibat perbuatan membaling botol tersebut untuk tampil membuat laporan.
“PDRM juga menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang dan tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat,” tambahnya lagi. – JURNAL