Melewati pasca pandemik Covid-19 membuatkan ramai yang berdepan dengan situasi getir dalam merencana semula hidup masing-masing bukan sahaja dari aspek rohani namun lebih utama ia turut membabitkan ekonomi dan taraf serta survival hidup.
Lantaran, tidak hairanlah apabila lebih 6,000 orang hadir pada program Nak Ubah Hidup 2023 (NUH 2023) anjuran RichWorks International (RichWorks) yang berlangsung di Setia City Convention Centre di sini bermula Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd berkata, pihaknya gembira melihat angka tersebut yang memberi isyarat bahawasanya ramai individu bersemangat memperbaiki hidup masing-masing selepas fasa pandemik dan persiapan berdepan dengan masalah ekonomi global.
Radz berkata, program NUH 2023 yang diadakan selama tiga hari secara percuma merupakan inisiatif mentor bisnes terkenal, Datuk Dr Azizan Osman dalam membantu orang ramai terutama golongan usahawan dalam dan luar negara pada permulaan tahun 2023.
“Kami sendiri gembira dengan bilangan yang hadir selepas program ini diadakan semula pascapandemik.
“Ia satu isyarat yang sangat baik di mana semua pihak bersemangat untuk menaik taraf hidup masing-masing selepas kita diuji dengan pandemik Covid-19.
“Paling menarik 70 peratus mereka yang hadir ialah golongan berumur 30 tahun ke bawah iaitu golongan muda yang bersemangat tinggi dan agresif untuk mengubah nasib mereka,” katanya.
Katanya, mereka yang hadir juga bukan sahaja dalam kalangan usahawan dan peniaga, malah individu yang masih bekerja termasuk dalam golongan profesional seperti doktor dan peguam.
“Mengulas mengenai golongan muda yang hadir, kami melihat ia satu isyarat yang sangat baik dan mereka mempunya peluang serta potensi yang sangat tinggi untuk berjaya jika betul-betul mempersiapkan diri,” katanya.
Tambah Radz, peserta-peserta NUH akan diberi reset fokus diri agar mereka lebih jelas terhadap potensi dan kemampuan diri.
Mereka kemudian kenal pasti matlamat hidup dan halangan kejayaan seseorang dalam ubah hidup.
“Misi Dr Azizan dan RichWorks adalah untuk memberi manfaat kepada orang ramai melalui ilmu dan panduan yang telah terbukti membantu banyak pihak sejak RichWorks ditubuhkan pada 2008,” katanya.
Beliau berkata, RichWorks juga bersedia untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan mahupun kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan bangsa usahawan di seluruh negara pada 2023 yang dijangka lebih mencabar.
RichWorks juga dipilih menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menjalankan program latihan keusahawanan.
RichWorks turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia dalam melatih dan membimbing bangsa usahawan dan bakal usahawan secara online mahupun program secara bersemuka. – JURNAL