Kedai serbaneka dan gaya hidup Korea, CU baru-baru ini menjalin kerjasama dengan cef selebriti Malaysia, Datuk Fazley Yaakob dengan memperkenalkan lima jenis hidangan makanan yang bersesuaian dengan citarasa rakyat Malaysia.
Jika sebelum ini CU sangat dikenali dengan menu popular sedia untuk dimakan Korea seperti Gimbap, Tteokbokki dan Bingsu, kini juadah fusion dengan elemen Melayu, Korea dan Cina juga boleh didapati.
Kolaborasi bersama Fazley itu menampilkan rangkaian juadah sedia untuk dimakan berinspirasikan Tahun Baharu Cina yang diberi nama ‘Dato’ Fazley Yaakob Creation Series’.
Untuk siri ini, Fazley menggunakan kepakarannya dalam menggabungkan makanan kegemaran tempatan Malaysia dengan elemen masakan Korea dan Cina terpilih untuk menghasilkan masakan unik khusus untuk CU.
Menu tersebut ialah Gimbab Nasi Lemak Sambal Oren, Nasi Goreng Yuan Yang bersama Ayam Rumpai Laut Berkuah, Roti Bandung Strawberi, Laksa Negeri Sembilan dan Sandwic Daging Carik Lemak Cili Api Telur Mayonis.
Pengarah MYCU Retail, Dr. Blake Dang menjelaskan pihaknya sentiasa berusaha untuk menyediakan produk berkualiti dan membawa pengalaman unik buat pengguna dan pembeli.
“Di CU, kami sentiasa berusaha untuk menyediakan produk berkualiti terbaik dan membawa pengalaman unik buat pengguna dan pembeli. Kerjasama dengan Cef Datuk Fazley ini bermula dengan daya inovasi beliau sebagai seorang cef, sejajar dengan nilai teras kami di CU iaitu untuk menyediakan pengalaman segar dan menyeronokkan buat pelanggan.
“Kami menimba pengalaman menarik sepanjang berkolaborasi dengan beliau, bermula dari pembentukan idea hinggalah ke pembuatan rangkaian sedia untuk dimakan ini. Kami cukup teruja untuk pelanggan kami mencubanya,” katanya.
Gimbap Nasi Lemak Sambal Oren
Hidangan yang mempunyai kisahnya tersendiri. Oren melambangkan kemakmuran, nasi melambangkan kekayaan, manakala sambal menyatukan rakyat Malaysia.
Nasi Goreng Yuan Yang bersama Ayam Rumpai Laut Berkuah
Dihidangkan dengan popia goreng, hidangan fusion Cina-Melayu ini merupakan kombinasi unik perisa enak bersama-sama ayam rumpai laut.
Sandwic Daging Carik Lemak Cili Api Telur Mayonis
Daging yang dimasak dalam campuran lemak santan, kunyit dan rempah-rempah lain, dihidang dengan telur cili api untuk keenakan maksimum.
Roti Bandung Strawberi
Dibuat dengan tepung Jepun, ban lembut dan gebu berinspirasikan air bandung. Ia cair di mulut dengan keenakan dan kewangian rasa bandung dan jem strawberri.
Laksa Negeri Sembilan
Hidangan istimewa kegemaran Chef Dato Fazley. Mi kenyal dihidangkan bersama ramuan laksa enak dalam kuah yang kaya, berkrim dan berempah.
Mengulas lanjut tentang hidangan atau resipi yang dihasilkan untuk CU, Fazley memberitahu beliau menggabungkan rasa unik dan ramuan kegemaran Malaysia untuk menghasilkan perisa hebat dan membangkitkan selera dalam kelima-lima juadah terbabit.
“Saya suka melihat betapa muhibahnya masakan Malaysia, dan amat meminati seni kulinari Korea dan Cina. Sepanjang menjadi chef, saya telah mengenal pasti beberapa hidangan yang pasti enak digandingkan dengan selera rakyat Malaysia.
“Rangkaian ini merupakan hasil kombinasi enak berperisa ini. Saya cukup gembira bekerjasama dengan CU dan berharap juadah yang kami hasilkan boleh dinikmati semua,” katanya.
Kunjungi kedai CU yang berdekatan dan cuba sendiri keenakan hidangan fusion ini hari ini! – JURNAL