Kemelut rumah tanggga antara madu Miera Leyana iaitu Adibah Abdul Mutalib dengan suaminya, Rosland Othman dilihat masih berpanjangan.
Walaupun Miera pernah menafikan menjadi punca keretakan rumah tangga isteri pertama, namun proses sulh membabitkan Rosland dan Adibah telah berlangsung di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini.
Peguam syarie Adibah, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, prosedur bagaimanapun tidak mencapai kata sepakat untuk membolehkan kedua-dua belah pihak berdamai.
“Proses sulh hari ini gagal. Cubaan mencari jalan tengah untuk berdamai melalui proses sulh tidak berjaya.
“Dalam proses sulh ini, kami cuba menyelesaikan tuntutan nafkah isteri dan anak-anak yang tidak dilunaskan yang berlanjutan lebih setahun.
“Justeru kami harap Rosland bersedia dengan segala tuntutan yang akan dikemukakan di mahkamah sama pada 2 Mac ini,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Consolidated Industries Berhad terbabit gagal menghadiri prosiding kes nusyuz yang difailkannya sendiri ke atas Adibah.
Rentetan itu, Rosland diperintah membayar kos RM500 kepada peguam dan isteri pertamanya.
“CEO syarikat terkemuka negara milik Serba Dinamik berkenaan diperintah menampung kos biaya guaman akibat kegagalannya hadir ke sesi prosiding yang dijadualkan pada 31 Januari lalu.
Sebelum ini, Adibah akui lelaki terbabit telah menyekat talian telefon yang menghubungkan mereka kira-kira hampir setahun setelah mengahwini Miera pada 2020.
Bagaimanapun, BOOM! ketika menemui Rosland di perkarangan mahkamah enggan ditemu bual.
Untuk info, Rosland dan Adibah dikurniakan lima orang anak sepanjang mereka mendirikan rumah tangga sejak 1995. – JURNAL