Majoriti pembaca Jurnal Malaysia yang menyertai tinjauan pendapat (poll), bersetuju sesi persekolahan dikembalikan kepada asal, iaitu bermula pada Januari setiap tahun.
Keputusan tersebut berdasarkan data poll yang dikutip selama 48 jam, di laman sesawang Jurnal Malaysia.
Seramai 97.92 peratus pembaca memilih setuju menukar sesi atau takwim persekolahan ditukar kepada kebiasaan, pada sesi akan datang.
Hanya 2.08 peratus memilih tidak bersetuju dan mahu sesi seperti sekarang dikekalkan.
Pada Disember lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menyatakan bahawa terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum mengembalikan sesi persekolahan seperti sebelum ini.
Beliau turut menasihati agar ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kementerian sedang berusaha ke arah itu.
Bagaimanapun, ia tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam tahun 2023 kerana kalendar akademik beserta justifikasi telahpun dikeluarkan.
Antara aspek yang perlu dijadikan panduan oleh KPM dalam merombak semula takwim termasuk jumlah hari bersekolah seperti termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.
Selain itu, KPM turut perlu mengambil kira takwim bagi sekolah-sekolah di negeri Kumpulan A dan B, berikutan bimbang sekiranya berlaku kacau ganggu terhadap proses pendidikan pelajar selain mengambil kira peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan berlangsung. – JURNAL