Umum mengetahui kanak-kanak sekolah di Malaysia diwajibkan memakai pakaian seragam ke sekolah.
Namun tahukah anda bagaimana ia bermula?
Pada hari ini dalam tahun 1969, Menteri Pelajaran, Abdul Rahman Ya’kub (Tun Abdul Rahman Ya’kub) telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pakaian Seragam Sekolah-sekolah.
Semasa berucap ketika mengumumkan penubuhan Jawatankuasa ini, beliau berkata, antara faktor-faktor utama perlunya diseragamkan pakaian di kalangan pelajar-pelajar bertujuan:
- Pakaian seragam yang sama akan menggalakkan integrasi sosial di kalangan masyarakat majmuk negara ini.
- Ibubapa yang bertukar tempat kerja tidak lagi bimbang mengenai pakaian anak-anak mereka yang terpaksa bertukar sekolah.
- Pakaian seragam yang sama akan lebih menarik terutama semasa perbarisan.
Pada 29 Jun 1969, Abdul Rahman telah mengumumkan pakaian seragam sekolah yang berkuatkuasa mulai 1970.
Untuk murid-murid sekolah rendah baju putih dan seluar pendek biru tua. Murid-murid perempuan di sekolah menengah memakai baju putih dan ‘penafores’ berwarna biru laut. Bagi murid-murid lelaki memakai baju putih dan seluar pendek biru tua.
Manakala pelajar-pelajar tingkatan enam pula, bagi penuntut perempuan baju putih dan skirt warna biru laut dan bagi lelaki baju putih dan seluar panjang putih.
Bagi pelajar-pelajar yang beragama Islam dibenarkan memakai baju kurung yang sewarna dengan pakaian seragam.
Usaha-usaha yang dijalankan bagi menyeragamkan pakaian penuntut ini mendapat sokongan daripada pihak ibu bapa dan guru-guru sekolah.
Dan sehingga hari ini, pakaian sekolah masih diwajibkan dan objektif Almarhum Tun Abdul Rahman tercapai dan diguna pakai dengan baik.
Sudah tentu ia juga meninggalkan impak yang besar kepada kita semua sehingga hari ini.
Info: Arkib Negara Malaysia