Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi logo Malaysia Madani, konsep diperkenalkannya sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Berdasarkan infografik dimuat naik di laman Facebook dan Twitternya, logo itu mempunyai reka bentuk seakan tapak tangan dan diasaskan dengan empat warna Jalur Gemilang.
Anwar turut menulis ciapan; “Saya mengusulkan Malaysia MADANI sebagai jalan ke depan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang rencam kaum dan budaya. Kita pastinya berusaha agar nilai-nilai ini digerak serta dilaksana sebaiknya.”
Diruangan komen, pelayar laman sosial memberikan reaksi berbeza namun rata-ratanya mengharapkan perubahan segera daripada pemerintahan kerajaan perpaduan.
Sementara itu menerusi infografik yang dimuat naik Anwar, setiap reka bentuk membawa maksud tersendiri.
Lima jari dengan jalur merah putih yang ditonjolkan dalam logo itu merupakan simbolisme kepada Rukun Negara, asas ideologi Malaysia manakala bulatan “tapak tangan” berwarna biru menandakan kebulatan, muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selain itu, bulan sabit adalah simbol agama Islam sebagai agama Persekutuan turut dijadikan salah satu elemen logo itu, selain bintang berbucu 14 yang melambangkan perpaduan dalam kalangan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.
Empat warna yang digunakan untuk logo berkenaan iaitu biru, melambangkan kesatuan nasional, keterangkuman dan persaudaraan; merah (keberanian, jati diri dan keazaman); kuning (nilai tradisi, kebudayaan dan kearifan tempatan; manakala putih (keluhuran budi, kesucian hati dan hasrat murni).
Konsep berkenaan yang diperkenalkannya secara rasmi pada 19 Jan lepas , diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.