Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada petang Rabu meluangkan masa menyantuni bekas wartawan hiburan tersohor Utusan Malaysia, Rosli Manah, 55, di kediaman beliau, di Kajang, Selangor.
Selain kesempitan hidup Rosli yang pernah menabur bakti lebih 26 tahun di Kumpulan Utusan (Melayu) Malaysia Berhad, kini diuji masalah kesihatan.
Sejak Kumpulan Utusan ditutup pada tahun 2019, Rosli melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup keluarganya.
Ismail Sabri secara peribadi mengenali Rosli sebagai wartawan hiburan pada tahun 2007.
Hubungan mereka menjadi akrab selepas Rosli banyak membantu karier Gadaffi (Dafi), yang merupakan anak Ismail Sabri dalam bidang hiburan.
Ismail Sabri tiba pada pukul 3 petang dan meluangkan masa hampir sejam berbual dengan Rosli, isteri Asma Ghani, Aasif Esfan, 26(anak kedua) dan Daniel Ashman, 18 (anak bongsu).
Bagaimanapun anak sulung Rosli, Dean Ilham, 27, keluar bekerja dan tidak ada dalam pertemuan tersebut.
Turut mengiringi Ismail Sabri ialah Pengarah Media dan Komunikasi Strategik beliau, Datuk Ruhaidini Abd Kadir, Setiausaha Akhbar dan Asyraf Afnan Ahmad Murtadza.
Sebelum mengakhiri pertemuannya bersama Rosli, Ismail turut memberikan sumbangan peribadi dan barangan keperluan asas. – JURNAL