Pada hari ini dalam tahun 1972, Istiadat Penganugerahan Taraf Bandaraya kepada Kuala Lumpur disempurnakan oleh Datuk Ong Kee Hui, Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Serentak dengan itu, Tan Sri Datuk Lokman Yusuf, Pesuruhjaya Ibu Kota dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang pertama.
Upacara yang gilang gemilang dan bersejarah ini dihadiri oleh orang-orang kenamaan negara termasuk Menteri-menteri Kabinet, Ketua-ketua Perwakilan Asing, Anggota-anggota Parlimen dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan yang lain.
Peristiwa pengisytiharan penganugerahan taraf Bandaraya ini amat besar maknanya dalam sejarah negara sejak negara mencapai kemerdekaan.
Penganugerahan tersebut diberikan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kelima,
Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan BadlishahSesungguhnya dengan penganugerahan status Bandaraya kepada Kuala Lumpur pada hari ini dalam tahun 1972, menjadikan Kuala Lumpur berkembang dan memainkan peranan penting sebagai pusat pemerintahan, diplomatik, perniagaan, kewangan dan pendidikan.
Kuala Lumpur kemudiannya diisytihar sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974 dan ditadbir urus oleh DBKL yang diwujudkan pada 1972.
Selepas 10 tahun penubuhannya, Labuan pula diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan kedua pada pada 16 April 1984 dan kemudiannya Putrajaya pada 1 Februari 2001, sebagai Wilayah Persekutuan ketiga.