Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan sudah menerima surat penggantungan keahlian UMNO.
Bagaimanapun bekas Naib Presiden UMNO itu mendakwa, tiada sebab yang dinyatakan dalam surat berkenaan mengenai penggantungan terhadapnya.
Hishamuddin mengesahkan tentang perkara tersebut menerusi ciapan di akaun sosial Twitternya, pada Selasa.
“Baru sahaja menerima surat rasmi bertarikh semalam berhubung penggantungan keahlian UMNO saya.
“Tiada sebab penggantungan dinyatakan,” ciapnya sambil menyertakan surat yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ciapan tersebut bagaimanapun menerima reaksi berbeza daripada pelayar laman sosial Twitter.
Baru sahaja terima surat rasmi bertarikh semalam berhubung penggantungan keahlian saya. Tiada sebab penggantungan dinyatakan. pic.twitter.com/vDol1tVsX2
— Hishammuddin Hussein 🇲🇾 (@HishammuddinH2O) January 31, 2023
Menerusi tinjauan JURNAL, rata-rata pelayar berpendapat Hishamuddin terlepas pandang pada isi surat yang menyatakan tindakan penggantungan dikenakan di bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembahaan UMNO kerana tindakan beliau melanggar Fasal 20.9.
Dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berlangsung Jumaat lalu, dua pemimpin dipecat iaitu bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. – JURNAL