Seorang pempengaruh dikenali sebagai Amyra tular di media sosial sejak semalam gara-gara menulis perkataan kel*ng dalam salah satu hantarannya di Instagram Stories.
Amyra menulis perkataan tersebut ketika menonton AR-Rahman pada Sabtu lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dia yang mempunyai 118,000 pengikut di Instagram didakwa tidak sensitif dengan masyarakat India tambahan lagi perkataan ditulis dianggap menghina dan menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.
Menerusi hantarannya dia menulis, kononnya pening mendengar lagu kel*ng dan mahu mendengar lagu yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza.
Rata-rata netizen kesal dengan tindakan gadis tersebut dan menyifatkan ia tindakan tidak matang serta memalukan.
“Dah tahun 2023 sis, ada lagi perangai tak cerdik macam ni? Memalukan kaum je!
“Cuma nak cakap la. Siti Nurhaliza melakukan banyak usaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan kita denganmempersembahkan lagu Tamil. Datang gadis ini cuba merosakkannya seperti ini! Adakah anda peminat sebenar Siti? Anda memalukan keluarga Sitizoners!
“Aku salah seorang yang pergi dan tak faham pun. Tapi aku enjoy je. Habis je satu lagu, aku yang bersorak lebih sebab crowd happening gila.
“Datuk Siti kolaborasi dengan AR Rahman supaya orang sedar bahawa tiada jurang kaum. Penat je TokTi hafal lagu yang bukan bahasa dia tapi orang macam ni masih duduk di bawah tempurung,” demikian antara komen netizen.
Susulan kecaman yang dilemparkan, influencer berkenaan tampil membuat permohonan maaf, menerusi hantaran di instagram storynya.
Menurut Amyra, dia mengakui tindakannya menggunakan perkataan kel*ng itu sebagai satu kesilapan dan kekhilafannya sendiri.
“Tentang menggunakan perkataan ‘K’, ia adalah daripada kesilapan dan kekurangan serta kekhilafan sis sendiri kerana tidak alert dan teliti dengan perkataan terbabit.
“Tiada niat walau sebesar zarah untuk menghina mana-mana pihak terutama kawan-kawan berbangsa India,” katanya.
Tegasnya lagi, tiada unsur penghinaan tetapi mungkin perkara yang berlaku disebabkan keterujaannya hadir ke sebuah konsert gergasi buat pertama kali.
“Kadang-kadang apabila perasaan menguasai diri, terus lupa akal yang sepatutnya mengawal kata-kata dan tulisan.
“Sekali lagi, sis memohon kemaafan pada seluruh kawan-kawan berbangsa India dan menyeru semua rakyat Malaysia sentiasa berhati-hati serta menghormati bangsa lain kerana kita tak ubah seperti aur dan tebing yang mana saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya. – JURNAL