Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik membuat permohonan maaf secara terbuka gara-gara mengungkapkan skrip yang dikatakan berbaur lucah menerusi drama Kudeta.
Maszlee berkata dia memohon maaf terutama kepada kaum wanita dan sesiapa sahaja, sekiranya babak dan skrip tersebut mengganggu kesejahteraan emosi dan minda semua.
Permohonaan maaf secara terbuka itu dibuat oleh beliau menerusi hantaran pada akaun Facebook, hari ini.
“Saya Dr. Maszlee Malik ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua terutamanya kepada kaum wanita di mana juga kalian berada.
Saya menyedari akan keberkesanan filem dan drama dalam menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat. Namun, ia tidaklah sampai menyinggung sensitiviti mahupun budaya.
“Secara peribadi, saya mengakui kekhilafan dan kesilapan kerana melakonkan watak Perdana Menteri jahat dipenjara yang telah menggunakan perkataan tidak sepatutnya dan telah mengganggu kesejahteraan emosi dan minda semua,” katanya pada hantaran itu.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberikan teguran, ingatan serta nasihat sama ada secara peribadi mahupun umum.
“Moga Allah ampunkan segala kesilapan saya dan himpunkan kita semua dalam kebaikan.
“Saya juga berharap pihak Astro boleh menapis babak tersebut demi menghormati sensitiviti ramai pihak,” ujarnya. – JURNAL