Selepas dipecat keahliannya dari Umno, Khairy Jamaluddin nampaknya laris bak pisang goreng panas.
Bekas ahli parlimen Rembau itu selepas dipecat pada Jumaat lalu terus diintai beberapa pihak termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
TMJ nampaknya tidak menunggu lama untuk ‘meminang’ Khairy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan penasihat belia Johor.
“Bakal CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) JDT dan penasihat belia Johor,” tulis Tunku Ismail yang turut memuat naik gambar beliau bersama Khairy.
KJ kemudiannya memuat naik semula hantaran tersebut dengan kapsyen: “Satu pintu rezeki tertutup, pasti akan terbuka pintu rezeki yang lain. Rezeki di tangan Allah.”
Selain TMJ, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin turut mempelawa KJ untuk menyertai parti tersebut.
“KJ boleh kemuka permohonan sertai BERSATU,” pelawa Muhyiddin.
Menteri Pengangkutan yang juga Setiusaha Agong DAP, Anthony Loke turut memberi bayangan bahawa kehadiran KJ dialu-alukan dalam Pakatan Harapan.
“Terpulang kepada mana-mana parti dalam PH jika KJ mahu sertai,” kata Loke.
Tidak ketinggalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari juga memuat naik hantaran menawarkan KJ sebagai ‘keluarga’.
“Walaupun bahtera itu besar, jika jelas ia akan tenggelam selamatkanlah diri dan orang tersayang. Kami tawarkan bahtera penyelamat, datanglah menjadi keluarga,” ujarnya.
Bagaimanapun sehingga kini Khairy tidak memberikan sebarangan bayangan untuk menyertai mana-mana parti.
Khairy dalam media sosialnya hanya menulis biografinya sebagai Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan.
Sebelum dipecat UMNO, beliau kalah sebagai wakil Barisan Nasional di Parlimen Sungai Buloh semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 baru-baru ini. – JURNAL