Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, yang berdepan pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau telah dikecam dan diugut bunuh sejak kes itu tular sehingga kini.
Siti Bainun, 31, berkata beliau turut dihina dan Rumah Bonda juga telah ditutup selain hilang pekerjaan kerana perniagaan makanan yang diusahakannya secara dalam talian telah dipulaukan.
“Tapi, nasi sudah menjadi bubur dan saya pun sudah dipanggil untuk membela diri atas kesalahan yang saya tidak jelas serta dicemuh disebabkan tindakan Zurianty Sudin (rakan Siti Bainun) menyebarkan video Bella yang disunting.
“Kedua-dua pegawai penyiasat sendiri tidak mendengar pun dengan betul video yang dirakamkan oleh Zurianty. Saya tidak faham kenapa pegawai penyiasat boleh kata tidak ada keperluan untuk tengok dan dengar video yang jadi asas penyiasatan mereka.
“Kalau mereka mendengar dan membuat transkrip, mesti perbicaraan dan penyiasatan serta pendakwaan ini tidak memprejudiskan saya,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi semasa hari pertama membela diri di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Siti Bainun berkata beliau telah hilang segala-galanya kerana tuduhan tidak berasas ke atasnya selain takut keluar rumah kerana ugutan yang diterima.
“Saya dapatkan rawatan di hospital pun ada jururawat yang cuba membahayakan saya sehingga peguam terpaksa masuk campur untuk pastikan keselamatan saya,” katanya.
Selain itu, Siti Bainun gagal mengawal emosi dan menangis apabila menceritakan mengenai hubungan dengan rakan baiknya, Zurianty, yang juga saksi pertama pendakwaan.
Semalam Siti Bainun turut menjelaskan tentang hubungan baiknya dengan Zurianty sebelum menjadi keruh gara-gara video disebarkan.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – JURNAL
Sumber: BERNAMA