Dua mangsa yang rentung dalam kebakaran treler di Kilometer (KM) 259.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk ke Port Dickson pada pagi tadi dipercayai suami isteri.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa ialah Mazlan Molot, 48, beralamat di Taman Putra Damai, Petaling Jaya, Selangor dan Fauziah Uyop, 40-an.
“Identiti mangsa telah pun dikenal pasti iaitu Mazlan merupakan pemandu treler manakala Fauziah ialah penumpang duduk di bahagian hadapan yang mana kedua-duanya ditemui dalam keadaan rentung keseluruhan.
“Mereka dipercayai pasangan suami isteri, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai status hubungan kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Bagaimanapun seorang lagi pemandu yang terlibat dalam nahas tersebut iaitu Suraj Doshi, 32, tidak mengalami kecederaan.
Selain itu, Nanda berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler berkenaan yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke arah Senawang hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kanan lalu merempuh tembok tengah penghadang lebuh raya.
“Akibat pelanggaran itu lori terbabit telah terbakar menyeluruh di bahagian badan dan kepala kenderaan.
“Kejadian itu mengakibatkan mangsa tersepit dan rentung keseluruhan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya. – JURNAL