Pihak berkuasa Romania merampas barangan dan wang bernilai 18 juta lei (AS$3.95 juta) sebagai sebahagian daripada langkah siasatan jenayah berhubung kes pemerdagangan manusia membabitkan personaliti media sosial terkenal, Andrew Tate.
Menurut satu kenyataan kelmarin, Agensi Kebangsaan bagi Pengurusan Aset Rampasan sudah menakluki 29 aset mudah alih, termasuk jam dan kenderaan mewah serta wang tunai pelbagai mata wang dalam jumlah berbeza.
Kelmarin, pemberita antarabangsa melihat beberapa kereta seperti Rolls-Royce, BMW dan Mercedes-Benz dibawa keluar dari pekarangan premis Tate di pinggir ibu kota, Bucharest.
Tate bersama abangnya dan dua suspek wanita warga Romania ditahan pada 29 Disember lalu setelah didakwa membentuk geng jenayah untuk mengeksploitasi enam wanita secara seksual. Bagaimanapun, mereka menafikan terbabit dengan sebarang salah laku disebutkan itu.
Mereka turut mencabar waran penahanan selama 30 hari ke atas diri masing-masing, namun Mahkamah Rayuan di Bucharest menolak dan memutuskan kesemua suspek perlu kekal berada dalam tahanan polis.
Bintang realiti program Big Brother terbabit cukup sinonim dengan kenyataannya yang didakwa bersifat misoginis (benci kepada orang perempuan) serta ucapan berbaur kebencian. – JURNAL