Tular sebuah video dikongsikan oleh seorang anggota polis dikenali sebagai Marpik bercerita fasal kisah pemuda yang sesat selama 11 jam kerana gagal menemui jalan pulang.
Kejadian terbabit dialami pemuda terbabit yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari Raub, Pahang menuju ke Sepang, Selangor.
Marpik menerusi video tersebut menjelaskan, lelaki bernama Wan itu mengaku dirinya tertipu dengan aplikasi penunjuk arah iaitu Waze sehinggakan dia terpaksa menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.
Menurut Wan, aplikasi itu telah membawanya dari Raub ke Bukit Fraser dan kemudiannya keluar di Hulu Selangor, walhal dia sebenarnya mahu ke Sepang.
“Nasib baik kami jawab telefon dan minta dia kongsikan lokasinya. Sebaik menerima perkongsian lokasinya, kami terus bergerak ke arahnya.
“Dia memasuki jalan kecil berliku dan gelap. Alhamdulillah, kami berselisih dengannya. Tengok raut wajah mukanya, jelas dia rasa bersyukur sangat-sangat dapat menemui kami,” cerita Marpik.
Menurut Marpik, perjalanan Wan sepatutnya tidak sampai lima jam dan laluan itu jarang dilalui oleh kenderaan.
Wan juga sempat bercerita jalan yang dilaluinya itu berkabus sehingga dia terjumpa kubur dan bau-bau lain.
“Abang boleh tolong apa yang mampu je dik,” katanya lagi dalam video itu.
Meninjau di ruangan komen, ramai yang turut berkongsi pengalaman mereka yang pernah terpedaya dengan aplikasi penunjuk arah.
Ada juga yang sempat berkongsi tip kepada penunggang motosikal untuk menekan simbol kereta bagi mengelakkan diri dibawa ke jalan pintas yang sunyi dan sempit. – JURNAL