Pemberian tol percuma kepada semua jenis kenderaan pada 20 dan 21 Januari ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia akan bermula tepat pada jam 12.00 tengah malam, 20 Januari (Jumaat) dan akan berakhir pada Sabtu, jam 11.59 malam, 21 Januari.
Beliau berkata, inisiatif tersebut membabitkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM40 juta.
“Dengan pelaksanaan diskaun tol ini, pengguna lebuh raya diharap dapat memanfaatkannya dan dinasihatkan agar mematuhi cadangan jadual perjalanan yang disyorkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanta menambah, pelaksanaan tol percuma itu juga adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam meraikan perayaan Tahun Baharu Cina yang menjadi titik permulaan dalam kehidupan masyarakat Tiong Hua setiap tahun.
“Ini juga bertepatan dengan konsep Masyarakat Madani yang diilhamkan Perdana Menteri dalam program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan baru-baru ini, di mana golongan sasaran bantuan kerajaan mestilah merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.
“Semua golongan yang memerlukan bantuan haruslah dibantu dengan sebaik-baiknya tanpa mengambil kira perbezaan rupa dan warna kulit.
“Ahli keluarga tentunya ingin mengambil peluang ini untuk pulang ke kampung bagi meluangkan masa bersama saudara-mara dan kaum keluarga.
“Justeru, aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menasihati pengguna untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet mencukupi.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pengecualian bayaran tol akan diberikan kepada pengguna lebuh raya seluruh negara membabitkan semua kelas kenderaan pada 20 dan 21 Januari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Masyarakat Cina di negara ini akan menyambut perayaan berkenaan pada 22 dan 23 Januari ini. – JURNAL