Anak aktres terkenal era 1990-an dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan pada Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Syarra Sudarman, 29, membuat pengakuan berkenaan atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti dan turut diperintahkan menjalani tempoh pengawasan selama tiga tahun.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh memiliki dua peket plastik lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 1.72 gram di sebuah hotel di Pekan Kuala Pilah.
BACA: Bahana Najis Dadah, Anak Perempuan Pelakon Nor Albaniah Dijatuhi Hukuman Penjara 8 Bulan
Difahamkan, kejadian berlaku lebih kurang jam 11.45 pagi, 12 Oktober dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selain dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah kira-kira jam 3 petang pada tarikh yang sama.
Atas kesalahan yang dilakukan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama dengan Seksyen 38B akta yang sama. – JURNAL