Baru-baru ini tular satu video menyaksikan sekumpulan penuntut universiti sedang melibatkan diri dalam acara olahraga di sebuah trek.
Menerusi video berkenaan, kelihatan mereka menyertai acara larian berganti-ganti di balapan.
Kedengaran juga sorakan penyokong yang tidak putus-putus memberi semangat.
Bagaimanapun, video berdurasi 59 saat itu sebenarnya menunjukkan berlaku dua kejadian
dalam satu masa yang sama.
Adegan bermula apabila salah seorang pelari kedua melakukan pecutan selepas menerima baton daripada rakan sepasukan.
Dalam saingan perlumbaan itu, gadis itu memecut laju untuk berada di kedudukan paling hadapan jauh meninggalkan pesaingnya.
Namun, tanpa disangka-sangka, muncul seekor anjing dari luar trek secara tiba-tiba bertindak agresif dan meluru masuk merentasi padang.
Haiwan itu kemudian dilihat cuba mengejar gadis berkenaan yang sedang fokus menuju ke pelari seterusnya untuk menyerahkan baton.
@jurnal.malaysia ♬ original sound – Jurnal Malaysia
Sorakan segelintir penonton kedengaran bertambah riuh menyaksikan detik cemas pelari itu yang seolah-olah dikejar anjing.
Kemudian salah seorang individu dipercayai petugas acara bergegas ke tengah trek bagi menghalang anjing tersebut daripada terus mengejar pelari.
Difahamkan, acara sukan tersebut berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu.
Di ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan acara larian itu yang menyaksikan pelari tersebut seakan-akan memecut lebih pantas selepas dikejar anjing.
Pun begitu berdasarkan komen, sebenarnya dia memberi fokus kepada larian untuk menyerahkan baton dan tidak perasan ada anjing mengejarnya dari belakang. – JURNAL
Sumber: mStar