“Maafkan sayang. Niat hanya nak suruh berhenti merokok.”
Demikian ungkapan maaf daripada seorang wanita dikenali sebagai Nabila Husna terhadap arwah suaminya yang meninggal dunia selepas 10 hari menyambut ulang tahun kelahiran.
Menerusi perkongsiannya di TikTok, dia tidak menyangka gurauan menghadiahkan suaminya sebiji kek dengan hiasan batu nisan seolah-olah petanda awal sebelum pasangannya itu menghembuskan nafas tarakhir pada 13 Januari 2022.
Menurutnya, tujuan hiasan seperti batu nisan diletakkan di atas kek semata-mata untuk memberi teguran agar suaminya berhenti merokok.
“Siapa suruh letak ‘kubur’ atas kek, kan dah betul-betul dekat kubur (meninggal dunia),” tulisnya pada ruangan kapsyen video yang dimuat naik di TikTok.
Bercerita lanjut, wanita itu berkata, arwah suaminya terpaksa ditidurkan pada 8 Januari tahun lalu disebabkan demam panas berpanjangan selama dua minggu sebelum pergi buat selamanya.
Dinyatakan, wanita terbabit kehilangan suaminya pada tanggal 13 Januari 2022.
Lebih menyedihkan, wanita itu terpaksa melahirkan puteri sulung mereka seorang diri tanpa suami di sisi pada 8 Ogos lepas. – JURNAL