Duyung Muslimah Nur Fathiyah Mahfuz mengakui banyak cabaran yang perlu dilalui untuk memenuhi impian menjadi duyung.
Tambahan lagi dia memilih untuk menampilkan ikan duyung berbeza dengan watak Ariel dalam watak animasi The Little mermaid apabila kostum yang dikenakannya mengekalkan imej Muslimah.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata beliau juga perlu menjalani kursus antaranya Tindak Balas Pertama Kecemasan (EFR) Penjagaan Utama dan Sekunder serta latihan kemahiran air seperti berenang sejauh 400 meter dan mengapungkan diri selama 10 minit, selain kemahiran di dalam air seperti cara pernafasan yang betul, ‘duck dive’ dan ‘dolphin kick’.
Menurutnya melakukan aktiviti air dengan gaya ikan duyung amat mencabar kerana seseorang itu berisiko mengalami kejang, memandangkan berenang dengan kostum ikan duyung memerlukan kedua-dua kaki bercantum menjadi satu dalam monofin dan kostum ekor.
“Aktiviti selaman di dalam laut mendedahkan ‘ikan duyung’ dengan cabaran seperti ketumpatan air, tekanan, suhu, jarak penglihatan dan arus bawah air. Risiko lemas juga ada,” katanya.
Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di sebuah hospital swasta itu mengenakan pakaian renang berketebalan sesuai, tidak jarang dan ketat serta menutup keseluruhan badan, ketika melakukan aktiviti berenang dan menyelam.
“Saya mahu mengubah persepsi dan penerimaan masyarakat bahawa sesiapa sahaja boleh merealisasikan impian menjadi duyung dan menikmati keindahan dasar lautan,” katanya.
Mula berenang dan menyelam dengan kostum ikan duyung sejak lebih dua tahun lepas, Nur Fathiyah daripada Persatuan Jurulatih Selaman Profesional (PADI) difahamkan merupakan Jurulatih Duyung Melayu Muslimah dan berhijab pertama di rantau Asia Pasifik. – JURNAL
Sumber: BERNAMA