Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh keputusan sama ada 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun dibebaskan atau perlu membela diri atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol menetapkan tarikh itu pada prosiding semakan status hujahan yang dijalankan secara Zoom hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan hujahan pada 24 dan 28 Januari lalu, namun memohon tarikh tambahan untuk memfailkan hujahan balas kerana ada peguam bela yang menghantar hujahan lewat.
Mahkamah turut mengarah pihak pembelaan menyediakan pernyataan saksi anak guam mereka menjelang tarikh berkenaan. Pada 9 Disember lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas 25 saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan penuh yang bermula 19 November lalu.
Antara saksi adalah pengarah dan warden kolej, 10 pelajar saksi mata, pakar patologi, pakar kimia, pakar forensik serta pegawai polis.
Pendakwaan dikendalikan oleh Nur Nisla, bersama Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri, manakala pihak pembelaan diketuai Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh, Chen Wen Jye, serta beberapa peguam lain yang mewakili tertuduh.
Kes ini menarik perhatian ramai dan keputusan pada 28 Februari bakal menentukan nasib 13 pelajar terbabit dalam kes tragis ini. – Jurnal
Sumber: Berita Harian