Prestasi gemilang skuad berbasikal trek negara di Grand Prix (GP) Trek Asia Tenggara membuktikan potensi besar Malaysia dalam mencipta kejayaan lebih hebat pada masa hadapan.
Pada Siri 2 Piala Presiden yang berlangsung di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, skuad elit negara menyumbang tiga pingat emas menerusi Muhammad Fadhil Mohd Zonis (keirin), Muhammad Ridwan Sahrom (pecut) dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (pecut).
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, menyatakan rasa bangga dengan pencapaian pelumba negara serta keyakinannya terhadap kombinasi pelumba keirin yang mampu mencipta lebih banyak kejayaan di arena antarabangsa.
“Dengan kejayaan Fadhil, saya percaya kita kembali ke landasan yang kukuh seperti ketika Josiah Ng dan Datuk Azizulhasni Awang mengharumkan nama negara di pentas Olimpik dan kejohanan dunia.
“Selepas persaraan Azizulhasni, saya mencari kombinasi pelumba keirin baharu. Kini, saya yakin kita sudah memiliki dua pelumba yang berpotensi besar untuk mencipta kejayaan besar,” katanya.
Amarjit turut memuji dedikasi serta semangat juang pelumba yang bersedia menghadapi cabaran pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 dari 21 hingga 27 Februari ini.
“Kejayaan di Piala Presiden ini menjadi suntikan motivasi kepada pelumba untuk terus cemerlang. ACC 2025 adalah pentas penting meraih mata UC dan memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat dunia,” tambah Amarjit.
Dengan semangat membara dan kombinasi mantap, skuad berbasikal trek Malaysia dilihat bersedia memberikan persembahan terbaik di ACC 2025 dan membawa pulang kejayaan untuk negara. – JURNAL