Sebanyak 43 perkampungan di sekitar 12 muara sungai di Terengganu berisiko kembali dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar selama tiga hari sehingga Khamis ini.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Osman Abdullah, berkata risiko tersebut akan meningkat sekiranya hujan lebat berlaku pada waktu yang sama.
“Antara perkampungan yang berisiko ialah Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Tanjung Gelam, Kampung Pulau Ketam di Kuala Nerus; Kampung Kuala Ibai di Kuala Terengganu; serta Kampung Teluk Bidara dan Kampung Sura di Dungun,” katanya ketika dihubungi.
Kawasan lain yang turut berisiko termasuk Kampung Rusila dan Kampung Merchang di Marang; Kampung Kuala Paka dan Kampung Durian Mentangau di Dungun; Kampung Gong Batu serta Kampung Fikri di Setiu.
Selain itu, empat lokasi di Kemaman seperti Kampung Baru Kemasik dan Kampung Bakau Tinggi juga terdedah kepada ancaman banjir.
“Fenomena air pasang besar ini melibatkan kawasan berhampiran muara sungai. Gabungan hujan lebat dan air pasang boleh menyebabkan limpahan air serta banjir kilat di kawasan berisiko,” jelas Osman.
Penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah. – JURNAL
Sumber: Kosmo!