Dua nelayan dari Jeti Padang Temu, Melaka yang dilaporkan hilang pada 15 Januari lalu ketika memukat di perairan Pulau Undan, ditemui selamat di Dumai, Indonesia.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Mohd Khairi Abd Aziz, mengesahkan Muarep Sakem, 63, dan Rosenizam Maharam, 55, diselamatkan oleh nelayan Indonesia selepas bot mereka hanyut akibat cuaca buruk dan kerosakan enjin.
“Kami bersyukur kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan serius. Mereka kini di Dumai, dan pihak kami sedang bekerjasama dengan Konsulat Malaysia untuk menguruskan proses penghantaran pulang,” katanya.
Beliau turut menasihati nelayan agar lebih berhati-hati dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan memastikan bot dalam keadaan baik sebelum ke laut.
Insiden kehilangan mereka disedari pada petang 17 Januari lalu, yang mendorong Maritim Melaka dan Negeri Sembilan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat.
Sementara itu, Adun Telok Mas merangkap Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Abd Razak Abd Rahman berkata, beliau telah menghubungi kedua-dua nelayan tersebut dan akan membantu urusan kepulangan mereka bersama Jabatan Imigresen. – JURNAL
Sumber: Harian Metro