Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, menyeru semua pihak agar tidak mencetuskan provokasi susulan insiden simbahan cat merah di pintu premis KK Mart di Universiti Malaya (UM).
Beliau melahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu yang berlaku tidak lama selepas kontroversi penjualan sandwic ‘ham & cheese’ oleh KK Mart, kini dalam siasatan pihak berkuasa.
“Oleh itu, saya memohon agar semua pihak tidak mengeruhkan keadaan lagi dengan mengeluarkan atau membuat tindakan provokasi,” kata Aaron dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap rakyat bertanggungjawab menjaga sensitiviti demi kesejahteraan negara.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian negara,” tambahnya.
Polis mengesahkan kejadian simbahan cat merah yang berlaku semalam itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, UM menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku untuk mengelakkan kejadian serupa berulang.
“UM memandang serius kejadian simbahan cat yang berlaku di premis KK Mart dalam kawasan kampus,” jelas kenyataan rasmi UM.
Sebelum ini, KK Mart menghadapi kontroversi berkaitan sandwic ‘ham & cheese’ yang didakwa menggunakan logo halal secara tidak sah. Jakim mengesahkan kepingan ayam dalam sandwic itu mempunyai sijil halal, namun sandwic itu sendiri dan syarikat pengeluarnya tidak mempunyai sijil halal.
Sebagai langkah susulan, KK Mart menggantung urusan perniagaan dengan pembekal sandwic berkenaan serta menghentikan bekalan produk dari Shake and Bake Cafe ke semua cawangannya. – JURNAL