Selepas British Airways memperkenalkan seragam baharu untuk kru kabin wanita mereka yang membenarkan pemakaian tudung, netizen Malaysia memuji syarikat penerbangan tersebut.
Seragam baharu tersebut menyertakan pilihan tunik dan tudung untuk kru kabin wanita sebagai pilihan pertama atau ‘airlines first’.
Sementara itu, kru lelaki mempunyai pilihan memakai sut (three-piece suit) manakala wanita boleh memakai gaun, skirt atau seluar bukan sekadar jumpsuit.
Tinjauan di platform media sosial mendapati ramai netizen Malaysia mencadangkan syarikat penerbangan negara ini iaitu Malaysia Airlines (MAS) dan Air Asia juga melakukan perkara sama.
“Kan bagus kalau syarikat penerbangan kita pun buat seragam macam ni, kru wanita ada pilihan nak bertudung atau pun tidak,” cadang seorang pengguna.
“Wah! Siapa sangka British Airways benarkan kru bertudung. Malaysia bila lagi?,” komen pengguna lain.
Difahamkan rombakan pakaian seragam syarikat penerbangan itu adalah hasil projek selama lima tahun oleh pereka fesyen Britain, Ozwald Boateng yang ditangguhkan selama dua tahun disebabkan pandemik COVID-19.
Boateng mendapat inspirasi untuk mencipta seragam baharu itu daripada syarikat penerbangan dan kakitangannya sendiri.
Corak gelombang udara yang ada pada jaket, kemeja-T, butang, dan tali leher diilhamkan oleh pergerakan udara di atas sayap pesawat.
Semua pakaian disesuaikan dengan menampilkan fabrik jenis jacquard serta menepati ikon ‘speedmarque’ ikonik syarikat penerbangan terbabit.
Menjelang musim panas ini, seramai 30,000 kakitangan barisan hadapan syarikat penerbangan itu akan mula ‘menyarung’ seragam baharu, dimulakan dengan jurutera dan pengendali darat.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif British Airways, Sean Doyle, berkata pakaian seragam mereka adalah representasi ikonik jenama penerbangan itu, yang akan membawa ke masa depan.
“Ia mewakili yang terbaik dari zaman moden Britain dan membantu kami menyampaikan perkhidmatan asli British yang hebat untuk pelanggan kami,” katanya.
Tambah beliau lagi,sejak awal penghasilan pakaian seragam itu adalah mengenai jati diri negara.
Sementara itu seragam lama, akan dipulangkan untuk dikitar semula atau diberikan kepada orang ramai. – JURNAL