Pengumuman gencatan senjata di Semenanjung Gaza membawa kelegaan bukan sahaja kepada rakyat Palestin, tetapi juga kepada masyarakat global termasuk rakyat Malaysia. Rata-rata warganet di media sosial meluahkan rasa syukur atas berita ini dan berdoa agar ia menjadi sinar harapan baharu buat penduduk Gaza.
Perdana Menteri Qatar, Mohammed Al Thani, yang memaklumkan bahawa persetujuan gencatan senjata telah dicapai antara Israel dan Hamas. Pengumuman itu disusuli laporan awal oleh bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Ini langkah pertama ke arah kestabilan yang berkekalan,” kata Mohammed Al Thani sambil mengesahkan pembebasan 33 tebusan Israel sebagai sebahagian daripada fasa pertama gencatan ini.
Berita tersebut turut disahkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengumumkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan sudah disepakati antara Hamas dan Israel.
Masyarakat dunia menyifatkan usaha ini sebagai sinar baharu dalam menyelesaikan konflik panjang di Gaza. Harapan kini terarah agar kestabilan ini dapat membawa keamanan yang berpanjangan di rantau tersebut. – JURNAL