Los Angeles kini berdepan kebakaran besar yang melibatkan lebih 36,386 ekar tanah dan lebih 10,000 struktur musnah. Namun, satu persoalan besar timbul: Mengapa pasukan bomba tidak memanfaatkan air laut yang terletak hanya beberapa batu dari kawasan kebakaran?
Air laut, secara teorinya, boleh digunakan untuk memadamkan api, tetapi penggunaannya tidak semudah yang disangka. Menurut Gabenor California, Gavin Newsom, “Daerah ini telah habis semua sumber kami. Malah, pili bomba telah sepenuhnya kering.” Namun, menggantikan bekalan air segar dengan air laut bukan pilihan mudah kerana beberapa faktor.
Garam dalam air laut merupakan masalah utama. Ia bersifat korosif, yang boleh merosakkan peralatan logam seperti pam air dan pesawat pemadam kebakaran. Tambahan pula, garam mengurangkan keberkesanan air dalam menyejukkan api, menjadikannya kurang efisien untuk digunakan.
Selain itu, isu alam sekitar juga menjadi kebimbangan utama. Apabila air laut digunakan dalam jumlah besar, kandungan garamnya akan mencemari tanah serta sumber air berhampiran. Ini boleh meningkatkan kemasinan tanah, menjadikannya toksik, dan menghalang tumbuhan daripada menyerap air dan nutrien dengan baik. Akibatnya, ekosistem setempat turut terjejas dalam jangka panjang.
Walaupun air laut kadangkala digunakan untuk memadamkan kebakaran, ia hanya dilakukan dalam keadaan tertentu yang sangat mendesak. Pasukan bomba perlu berhati-hati bagi memastikan langkah itu tidak membawa lebih banyak mudarat kepada kawasan yang terjejas.
Imej satelit terbaru menunjukkan api semakin menghampiri pantai Los Angeles, memberi tekanan besar kepada pasukan penyelamat yang kini bergelut dengan kekurangan bekalan air. – JURNAL