Meta, syarikat induk Facebook, Instagram, dan WhatsApp, mengumumkan bakal memotong 5% tenaga kerja globalnya, menyasarkan kira-kira 3,600 pekerja berprestasi rendah. Keputusan ini diambil sebagai langkah mempercepat proses penilaian prestasi tahunan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Mark Zuckerberg.
Zuckerberg menyifatkan tahun 2025 sebagai “tahun yang sengit” dalam sebuah memo kepada kakitangan.
“Saya ingin memastikan kita mempunyai individu terbaik dalam pasukan kita. Saya telah memutuskan untuk menaikkan standard pengurusan prestasi dan mengeluarkan pekerja berprestasi rendah dengan lebih pantas,” katanya.
Kakitangan di Amerika Syarikat yang terkesan akan dimaklumkan selewat-lewatnya 10 Februari, sementara pekerja di luar AS akan diberitahu “kemudian”. Namun, Zuckerberg memberi jaminan mereka yang terkesan akan menerima “pampasan yang murah hati”.
Pemotongan ini menyusuli langkah besar lain yang diambil Meta, termasuk menamatkan program pemeriksaan fakta dan kepelbagaian. Sebelum ini, syarikat tersebut telah mengurangkan kira-kira 10,000 posisi pada tahun 2023 selepas mengisytiharkan tahun tersebut sebagai “tahun kecekapan”, selain 11,000 pekerjaan yang dipotong pada tahun 2022.
Keputusan Meta ini dilihat sebagai langkah agresif untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dalam persaingan global. Namun, ia juga membuka persoalan tentang impaknya terhadap kebajikan pekerja dalam industri teknologi. – JURNAL
Sumber: BBC