TikTok menepis laporan Bloomberg yang mendakwa China sedang mempertimbangkan untuk menjual operasi TikTok di Amerika Syarikat (AS) kepada Elon Musk, dengan menyatakan ia hanyalah “fiksyen semata-mata”.
Laporan itu muncul selepas Mahkamah Agung AS dijangka membuat keputusan mengenai undang-undang yang memberi TikTok tempoh sehingga 19 Januari untuk menjual operasi mereka di AS atau berdepan larangan di negara itu.
“Kami tidak boleh memberikan komen terhadap fiksyen semata-mata,” ujar jurucakap TikTok kepada BBC News.
Bloomberg, memetik sumber dalaman, melaporkan bahawa salah satu kemungkinan ialah platform media sosial Musk, X, mungkin mengambil alih operasi TikTok di AS. Bagaimanapun, X belum memberi respons terhadap permintaan komen oleh BBC.
Presiden yang bakal dilantik semula, Donald Trump, baru-baru ini meminta Mahkamah Agung untuk menangguhkan keputusan tersebut sehingga beliau kembali ke White House pada 20 Januari.
Trump juga menyatakan hasrat untuk mencari “penyelesaian politik” terhadap isu ini selepas mengambil alih pentadbiran.
“Trump menentang larangan TikTok dan mahu menyelesaikan isu ini melalui kaedah politik setelah beliau kembali ke tampuk kepimpinan,” jelas peguamnya dalam dokumen mahkamah.
Ketika perbicaraan minggu lalu, hakim Mahkamah Agung kelihatan cenderung untuk menyokong undang-undang dan mengekalkan tarikh akhir 19 Januari.
Pentadbiran Biden menegaskan, jika TikTok tidak dijual, platform tersebut mungkin digunakan oleh China untuk mengintip dan memanipulasi politik di AS.
Namun, TikTok terus menafikan sebarang pengaruh oleh Parti Komunis China dan menyatakan undang-undang untuk melarang aplikasi itu melanggar hak kebebasan bersuara di bawah Pindaan Pertama.
Isu ini terus menarik perhatian, terutama dengan campur tangan politik dari kedua-dua belah pihak. Buat masa ini, masa depan TikTok di AS masih tidak menentu. – JURNAL
Sumber: BBC