Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju memperbaharui kerjasama strategik dalam bidang tenaga, keselamatan makanan, teknologi, dan pusat data. Persetujuan ini dimeterai semasa pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Naib Presiden serta Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, di Istana Za’abeel, Dubai.
Lawatan tiga hari Anwar ke UAE adalah atas jemputan khas Sheikh Mohammed sempena Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) yang berlangsung di Abu Dhabi.
“Ruang lingkup ini saya gunakan bagi menyatakan penghargaan atas jemputan lawatan kerja selain bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh perkongsian strategik kedua-dua negara serta isu global,” kata Anwar dalam hantaran Facebook.
Dalam pertemuan tersebut, Malaysia dan UAE sepakat memajukan kepentingan bersama serta menyokong matlamat pembangunan mampan kedua-dua negara.
Terdahulu, Perdana Menteri mendedahkan pelaburan jangka panjang dijangka disuntik menerusi kerjasama dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, lapangan terbang, dan tenaga.
Sinergi padu antara Malaysia dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) juga meningkatkan keyakinan terhadap potensi ekonomi Malaysia yang berdaya saing.
Sempena hari kedua lawatannya, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin utama Dana Kekayaan Berdaulat UAE, termasuk Pengarah Urusan ADIA, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, CEO Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak, dan CEO Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi.
Kerjasama strategik ini dijangka membawa impak besar kepada pertumbuhan mampan ekonomi Malaysia di peringkat global. – JURNAL