Operasi menyelamat berterusan sepanjang malam selepas gempa bumi berkekuatan 7.1 magnitud menggegarkan kaki bukit Banjaran Himalaya di rantau Tibet, China, semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 126 nyawa dan mencederakan 188 mangsa.
Bencana itu, yang berlaku pada jam 9 pagi waktu tempatan, turut memusnahkan lebih 3,600 bangunan, termasuk kediaman di bandar Shigatse, memaksa beribu-ribu penduduk kehilangan tempat berteduh dalam suhu serendah -16 darjah Celsius.
Rakaman CCTV menunjukkan pasukan penyelamat menyelamatkan mangsa dari runtuhan sambil mengagihkan selimut tebal kepada penduduk yang terjejas.
“Keutamaan kini ialah melindungi mangsa terselamat yang terpaksa bertahan dalam cuaca melampau,” lapor media kerajaan.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, pusat gempa dikesan pada kedalaman 10 kilometer dan turut dirasai di Nepal serta beberapa kawasan di India. Gempa ini disifatkan antara bencana terburuk di China dalam tempoh beberapa tahun kerana jumlah korban yang tinggi.
“Operasi menyelamat berskala besar telah dilancarkan bagi membantu mangsa yang masih terperangkap,” ujar seorang pegawai tempatan.
Dengan suhu di kawasan Tingri dekat pusat gempa kini mencecah -8 darjah Celsius, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan tertekan sementara usaha menyelamat giat dijalankan. – JURNAL
Sumber: BBC