Penemuan objek disyaki bom peninggalan Perang Dunia Kedua di perairan Pulau Sibuan, Taman Marin Tun Sakaran, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan dan industri pelancongan di daerah ini.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyeru pihak berkuasa bertindak pantas menyiasat dan melupuskan bahan letupan itu demi keselamatan dan reputasi pulau berkenaan.
“Saya menghargai tindakan Taman-Taman Sabah yang segera menutup Pulau Sibuan demi keselamatan awam, namun penutupan ini memberi kesan kepada pelancongan dan ekonomi tempatan,” katanya.
Pulau Sibuan, yang terkenal dengan keindahan semula jadi dan menjadi tarikan pelancong serta penyelam antarabangsa, kini ditutup sementara mulai jam 12.30 tengah hari semalam sehingga keadaan selamat sepenuhnya.
“Kita mesti pastikan isu ini diselesaikan segera. Pulau Sibuan adalah salah satu daya tarikan utama Semporna. Ketika bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, kita tidak boleh kehilangan pengunjung kerana masalah seperti ini,” tegas Mohd Shafie.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol, turut mengesahkan penemuan objek berkenaan tetapi menjelaskan statusnya masih belum dipastikan sama ada bahan letupan atau tidak.
Taman-Taman Sabah juga diminta memberi garis masa yang jelas mengenai tempoh penutupan pulau itu bagi memberikan keyakinan kepada pelancong dan penggiat industri pelancongan.
Pulau Sibuan adalah satu daripada lapan pulau dalam Taman Marin Tun Sakaran yang diwartakan sejak 2004, bersama Bodgaya, Boheydulang, Tetagan, Selakan, Sebangkat, Maiga, dan Mantabuan.
Langkah segera diperlukan untuk memastikan Pulau Sibuan kembali selamat dan terus menjadi destinasi tarikan dunia. – JURNAL