Pada 4 Januari 2025, bumi akan berada pada titik paling dekat dengan matahari, fenomena yang dikenali sebagai Perihelion. Planetarium Negara dalam satu hantaran memaklumkan bahawa bumi mengorbit matahari dalam laluan elips, menyebabkan fenomena ini berlaku setiap tahun.
“Bumi akan berada di titik Perihelion pada 4 Januari 2025 (Sabtu), tepat pada pukul 9.28 malam,” menurut perkongsian itu.
Perihelion berlaku setiap tahun sama ada pada 3 atau 4 Januari, sementara Aphelion iaitu kedudukan bumi paling jauh dari matahari pula berlaku pada 3 atau 4 Julai. Kedua-dua fenomena ini adalah hasil daripada bentuk orbit bumi yang tidak sepenuhnya bulat tetapi elips.
Walaupun bumi berada lebih dekat dengan matahari ketika Perihelion, fenomena ini tidak memberi kesan ketara kepada kehidupan di bumi. Suhu global dan cuaca lebih banyak dipengaruhi oleh faktor lain seperti kecondongan paksi bumi, bukannya jarak dari matahari.
Peristiwa ini menunjukkan keindahan sains astronomi dan bagaimana alam semesta berfungsi dengan penuh ketelitian. – JURNAL