Proses pemilihan pelajar ke Universiti Awam (UA) di Malaysia dilakukan secara telus, mengutamakan merit dan kriteria tertentu termasuk membantu pelajar daripada keluarga B40.
Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, menafikan dakwaan wujudnya kaedah ‘pintu belakang’ dalam pengambilan pelajar ke UA.
“Jumlah kemasukan melalui saluran arus perdana tidak pernah dikurangkan. Kaedah ‘over dan above’ digunakan, iaitu kuota arus perdana dipenuhi dahulu sebelum peluang dibuka kepada calon rayuan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa saluran komersial, yang melibatkan pelajar daripada keluarga T20 dan pelajar antarabangsa, tidak menjejaskan hak pelajar B40 kerana ia beroperasi tanpa subsidi kerajaan. Kutipan yuran saluran ini digunakan untuk meningkatkan fasiliti universiti yang dinikmati semua pelajar.
Dr Mohd Ekhwan turut menegur kenyataan Dr Haim Hilman Abdullah yang mendakwa saluran terbuka menafikan hak B40 sebagai tidak berasas.
“Kenyataan itu mencerminkan kejahilan terhadap prosedur kemasukan pelajar UA. Pelajar antarabangsa, misalnya, tidak menggunakan kuota pelajar tempatan,” jelasnya.
Ketika ini, hanya 10 peratus atau 11,860 pelajar berada dalam saluran komersial daripada keseluruhan 150,000 pelajar di UA. Dengan pendekatan ini, Malaysia terus mengekalkan sistem kemasukan yang telus dan menjadi hab pendidikan tinggi pilihan pelajar antarabangsa. – JURNAL