Pesilat negara, V Thamaraj, mencipta sejarah bukan sahaja dengan gelaran juara dunia, tetapi turut diberi penghormatan khas apabila dinaikkan pangkat daripada Koperal kepada Sarjan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Setiausaha Persatuan Silat ATM, Mejar Noorsyahiddawati Abdullah Sani, memaklumkan bahawa penghargaan ini diberikan atas kejayaan luar biasa Thamaraj yang memenangi emas dalam kategori bebas putera pada Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 di Abu Dhabi, UAE.
Tidak hanya Thamaraj, seorang lagi pesilat ATM, Ahmad Fauzan Hadi, yang meraih emas dalam kategori silat kreatif tunggal putera turut menerima kenaikan pangkat yang sama.
“Mereka akan dipakaikan pangkat Sarjan pada 2 Januari ini. Penghargaan ini sangat layak buat mereka kerana telah mengharumkan nama Malaysia dan ATM di pentas antarabangsa,” ujar Mejar Noorsyahiddawati ketika ditemui di KLIA sewaktu menyambut kepulangan skuad silat negara.
Thamaraj, 29, mencatat kemenangan bersejarah dengan menewaskan pesilat Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyobek, untuk meraih emas dan bergelar juara dunia. Sementara itu, Fauzan unggul dengan 9.960 mata, menguasai kategori silat kreatif tunggal putera.
Thamaraj, yang sudah berkhidmat bersama ATM selama 10 tahun, meluahkan rasa syukur atas penghormatan tersebut.
“Berita kenaikan pangkat ini memberi saya motivasi untuk terus bekerja keras dan melakar lebih banyak kejayaan untuk negara,” katanya.
Kejayaan kedua-dua atlet ini sekali lagi membuktikan kemampuan pesilat negara mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Tahniah buat wira negara! – JURNAL
Sumber: Berita Harian