Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkaitan kenyataan di sebuah forum Universiti Teknologi MARA (UiTM) empat tahun lalu.
Keputusan itu menyaksikan Yeoh diarahkan membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Musa selepas mahkamah mendapati beliau gagal membuktikan kenyataan tersebut berunsur fitnah atau berniat jahat.
Saman itu difailkan pada Julai 2020 oleh Yeoh yang mendakwa Musa mengaitkannya dengan agenda menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian melalui penulisan buku Becoming Hannah: A Personal Journey.
Namun, Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi, dalam penghakimannya menyatakan, “Yeoh gagal membuktikan bahawa kenyataan itu secara keseluruhan merujuk kepada dirinya atau Musa bertanggungjawab atas penerbitannya.”
Arziah menegaskan, forum anjuran UiTM itu dilindungi keistimewaan institusi, manakala Musa, sebagai bekas Ketua Polis Negara, bertanggungjawab untuk bercakap mengenai isu keselamatan negara.
“Kenyataan dibuat berdasarkan analisis akademik dalam konteks kebimbangan terhadap keselamatan negara. Tiada bukti menunjukkan niat jahat oleh defendan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan melindungi hak kebebasan bersuara, terutamanya apabila menyentuh isu kepentingan awam.
Peguam Musa, Mohd Khairul Azam Abd Aziz, mengesahkan keputusan mahkamah tersebut, manakala peguam Yeoh, Lim Wei Jiet, memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian