Peristiwa tragis menimpa seorang anggota polis apabila mayatnya ditemui lemas selepas hilang ketika mandi di tali air Jalan Utama Changkat Lada, Kampung Gajah.
Koperal Muhammad Taufik Sayuti, 39, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, dijumpai oleh pasukan penyelamat pada pukul 4.55 pagi hari ini.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mayat mangsa ditemukan di kawasan tebing pada jarak tiga meter dari pusat kawalan bomba (PKB).
“Mayat mangsa dinaikkan menggunakan ‘bucket stretcher’ dan ‘webbing’ sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Insiden berlaku ketika Muhammad Taufik sedang mandi bersama rakan-rakannya di kawasan tali air tersebut. Difahamkan, mangsa cuba berenang ke tepi tebing selepas keletihan, namun dihanyutkan arus deras.
Lebih menyedihkan, mangsa pulang ke kampung untuk bercuti dan sempat menghadiri sesi ‘reunion’ bersama rakan-rakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada sebelum insiden berlaku.
Penemuan mayat tersebut menutup operasi pencarian yang dilakukan sejak semalam. – JURNAL
Sumber: Kosmo!