Sejak semalam tular rakaman video kumpulan penyokong Ultras Malaya memberikan penghormatan kepada pasukan Thailand selepas tamat aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022.
Ultras yang hadir ke stadium Stadium Thammasat, Bangkok untuk memberi sokongan kepada Harimau Malaya, dilihat memalu gendang sambil menyanyi dan menyebut ‘sawadee-ka Thailand’ sambil bertepuk tangan kepada skuad Gajah Perang.
Lebih menarik lagi, pemain Thailand termasuk pengurus mereka turut sama menyanyi mengikut rentak dan berdiri di hadapan Ultras sebagai tanda terima kasih dan meraikan ekor Harimau Malaya itu.
Tindakan Ultras telah meraih pujian daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang memuat naik video berkenaan di laman Twitter mereka.
“Perlawanan yang indah. Penyokong Malaysia menunjukkan penghormatan kepada pemain Thailand selepas pasukan mereka tewas dalam Piala AFF,” ciap FIFA pada hantaran tersebut.
Selain itu, pengguna media sosial turut meluahkan rasa kagum dan menganggap tindakan itu sebagai terbaik daripada Ultras Malaya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata penyokong Thailand mengucapkan terima kasih selain memuji semangat kesukanan penyokong Malaysia.
“Thailand dan Malaysia rakan baik, penyokong Malaysia sangat baik hati. Semoga selamat sampai di Malaysia dan teruskan menyokong Thailand dalam perlawan akhir. Terima kasih dari penyokong Thailand,” kata Dynana.
“Terima kasih penyokong Malaysia, ini sangat comel,” kata Pantong.
“Tindakan baik dari Malaysia dan Thailand. Sayang sekali peminat Indonesia takkan buat begini,” seloroh Kai.
Terdahulu, laman rasmi Facebook rasmi Piala AFF 2022 memuat naik video Ultras Malaya menyanyikan lagu buat pemain Thailand selepas skuad itu menewaskan Malaysia 3-0 pada malam Selasa lalu.
The beautiful game ❤️
The Malaysia fans show their respect for the Thailand players after losing to them in the @affmecup 🤝#FootballUnitesTheWorldpic.twitter.com/36LrGJ3ITZ
— FIFA (@FIFAcom) January 10, 2023
Kemenangan itu menyaksikan skuad Gajah Perang yang juga juara bertahan mara ke final buat kali ke-10 dengan agregat 3-1 selepas tewas 0-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Thailand bakal menentang juara dua kali Vietnam di pentas akhir yang akan berlangsung pada Jumaat dan Isnin ini. – JURNAL