Majlis Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan EU (EUDR) selama setahun, memberikan nafas lega kepada pengeluar minyak sawit Malaysia yang sebelum ini menghadapi cabaran besar untuk mematuhi peraturan berkenaan.
Menurut kenyataan yang diterbitkan di laman web rasmi Majlis EU, keputusan ini bertujuan memberikan masa kepada negara anggota, peniaga, dan pengendali di negara ketiga bagi membuat persediaan rapi untuk memenuhi syarat-syarat baharu.
“Penangguhan ini memastikan komoditi dan produk tertentu yang dijual di EU atau dieksport dari EU bebas daripada proses penyahhutanan,” jelas kenyataan itu.
EUDR mewajibkan produk seperti minyak sawit, getah, kopi, koko, kayu, dan produk ternakan untuk memastikan ia tidak dihasilkan daripada tanah yang terlibat dalam aktiviti penyahhutanan. Sebagai tambahan, peraturan itu akan ditandatangani dan diterbitkan dalam Jurnal Rasmi EU sebelum dikuatkuasakan bermula 30 Disember 2025, berbanding tarikh asal 30 Disember 2024.
Bagi pengeluar minyak sawit Malaysia, langkah ini melegakan kerana sebelum ini dianggarkan kos pematuhan mencecah RM2.93 bilion setiap tahun, termasuk RM1.17 bilion kesan langsung kepada pekebun kecil.
Penganalisis perladangan berpendapat keputusan EU memberi peluang kepada pengeluar untuk membuat penyesuaian yang diperlukan tanpa tekanan masa. Langkah ini turut memberikan kejelasan dari segi perundangan bagi pelaksanaan yang lebih lancar dan berkesan.
Dengan tarikh baharu, pemain industri dijangka dapat mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk memenuhi standard EU sekaligus memastikan pasaran eksport utama minyak sawit Malaysia terus berkembang. – JURNAL
Sumber: Berita Harian