Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan tempoh hingga hujung tahun ini untuk mendapatkan jawapan daripada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, sama ada beliau akan terus kekal dalam Program Podium.
Timbalan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, menegaskan bahawa Azizulhasni, yang juga pemenang dua pingat Olimpik, perlu mematuhi syarat yang ditetapkan, termasuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI), jika mahu menyertai program tersebut.
“Ia bergantung kepada persetujuannya untuk mencapai KPI pertama, di mana dia perlu melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2025 dalam acara berpasukan atau individu. Jika dia bersetuju dengan syarat tersebut, kami akan tawarkannya untuk kembali ke Program Podium. Sebagaimana atlet lain, mereka juga ada KPI yang perlu dipenuhi,” ujar Jefri selepas merasmikan Jelajah Juara e-Sukan di Bukit Jalil.
Jefri turut memaklumkan bahawa MSN akan membuat tawaran rasmi kepada atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu pada 1 Januari 2024.
“Kami akan meminta Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk berhubung dengan Azizulhasni dengan kadar segera,” tambahnya.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKBM, Ahmad Arif Astaman, menyatakan bahawa pihaknya dan MSN bersetuju untuk mengekalkan Azizulhasni dalam Program Podium tahun depan, sementara kontrak sedia ada tamat pada hujung bulan ini.
Difahamkan, atlet yang dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman itu masih berhasrat untuk terus menyumbang kepada skuad kebangsaan walaupun ketika ini fokusnya adalah untuk menamatkan pengajian di Melbourne, Australia. – JURNAL
Sumber: Kosmo!