Malaysia kini berada pada landasan kukuh untuk menjadi peneraju keselamatan siber di peringkat ASEAN, sejajar dengan Kepengerusian ASEAN 2025. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) menyokong peranan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dalam melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
“Petang tadi saya mendengar pembentangan situasi keselamatan siber negara yang semakin mencabar dan kompleks ketika mempengerusikan Mesyuarat JKSN. Mesyuarat turut bersetuju supaya NACSA menerajui Pusat Kriptografi Negara yang berpusat di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan penglibatan penyelidik dari pelbagai universiti,” ujar beliau.
Malaysia juga sedang merangka Malaysia Cyber Security Strategy (2025-2030) sebagai persediaan menghadapi cabaran keselamatan siber yang semakin kompleks. Perdana Menteri turut menyatakan sokongan terhadap penganjuran Cyber Defense and Security Exhibition and Conference (CYDES) 2025, yang akan menjadi platform penting untuk memperkukuh inisiatif keselamatan siber.
Selain itu, Malaysia akan menyertai Budapest Convention dan United Nation Convention Against Cybercrime sebagai bukti komitmen menangani jenayah siber di peringkat global.
“Negara tidak ketandusan pakar, tetapi kita perlu memastikan kesinambungan antara sektor akademik, keperluan industri dan usaha memelihara ekosistem keselamatan siber negara. Saya juga menyokong penggubalan rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997,” tambah Anwar.
Langkah ini dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju keselamatan siber serantau, sekali gus memberi impak positif kepada kestabilan dan ekonomi negara. – JURNAL