Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei, menutup musim 2024 dengan pencapaian gemilang, berazam untuk lebih konsisten dan menjadi pemain yang lebih lengkap pada tahun depan.
Walaupun tewas di final Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 kepada pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, pencapaian mereka tetap membanggakan. Beregu yang mesra disapa ‘DinFei’ itu meraih tiga gelaran Jelajah Dunia, iaitu Terbuka Jepun, Terbuka China, dan Terbuka Artik.
“Saya rasa musim ini sangat baik untuk kami. Kami meraih sesuatu yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Harap tahun depan kami boleh menjadi lebih baik,” kata Sze Fei.
Kejayaan ini bakal melonjakkan ranking mereka ke tangga ketiga dunia, satu pencapaian terbesar dalam kerjaya ‘DinFei’.
Menurut Sze Fei, komunikasi dalam gelanggang menjadi aspek utama yang akan ditingkatkan untuk memperbaiki konsistensi permainan.
Peminat pastinya tidak sabar menyaksikan penampilan ‘DinFei’ di Terbuka Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, bermula 7 hingga 12 Januari depan, di mana mereka bakal menjadi antara pencabar utama kejohanan itu. – JURNAL
Sumber: Kosmo!