Teka-teki mengenai siapa yang bakal menggalas tugas ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya, termasuk skuad senior dan bawah 23 (B-23) tahun, bakal terjawab hari ini.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mengumumkan melalui Instagram miliknya bahawa nama individu yang akan mengambil alih peranan penting ini akan diumumkan hari ini.
“Esok (hari ini) akan diumum berkenaan ketua jurulatih pasukan kebangsaan. Ketua jurulatih skuad B-23, pasukan perubatan dan teknologi yang akan memberi impak kepada pasukan kebangsaan,” tulis Tunku Mahkota Ismail di Instagram Story.
Sejak kebelakangan ini, beberapa nama besar seperti John Hutchinson, Arthur Papas, dan Peter Cklamovski dikaitkan sebagai calon-calon utama untuk memimpin Harimau Malaya ke peringkat lebih tinggi.
Tunku Mahkota Ismail juga memaklumkan bahawa dalam masa terdekat, struktur baharu Harimau Malaya akan diumumkan, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Teknikal.
“Selepas ketua jurulatih selesai, akan diumumkan CEO dan pengarah teknikal dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Beliau turut mendedahkan bahawa pertemuan bersama wakil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah diadakan bagi mendapatkan data pemain kacukan di luar negara, bagi memperkukuh pasukan kebangsaan.
Dengan pengumuman ini, seluruh peminat Harimau Malaya pastinya teruja untuk melihat perubahan besar dalam pasukan kebangsaan. – JURNAL