Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, memulakan lawatan rasmi sulungnya ke Malaysia dengan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pagi tadi.
Ketibaan beliau pada jam 9 pagi disambut mesra oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diiringi lagu kebangsaan kedua-dua negara. Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, bersama anggota Jemaah Menteri.
Paetongtarn kemudiannya memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan melibatkan 102 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Selepas acara rasmi, Paetongtarn dan Anwar mengadakan mesyuarat dua hala yang memberi tumpuan kepada menilai kemajuan hubungan kedua-dua negara. Mereka turut meneroka potensi kerjasama baharu, termasuk isu-isu serantau dan antarabangsa.
Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu Kerjasama Kebudayaan, Seni dan Warisan serta Pembangunan Industri Getah dan Kerjasama Ekonomi.
Thailand kekal sebagai rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua dalam kalangan negara ASEAN. Pada 2023, jumlah dagangan kedua-dua negara mencapai RM113.16 bilion (AS$24.83 bilion).
Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala meningkat kepada RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Lawatan dua hari ini dijangka memperkukuhkan hubungan erat antara dua negara jiran tetangga. – JURNAL
Sumber: Berita Harian