Selepas mengalami gangguan global pada Khamis, chatbot kecerdasan buatan generatif (AI), ChatGPT, kini kembali beroperasi seperti biasa. Insiden ini menyebabkan ramai pengguna tidak dapat mengakses platform yang dikendalikan oleh Sam Altman itu.
OpenAI menerusi hantaran di platform X memaklumkan, “Kami sedang mengalami gangguan ketika ini. Masalah telah dikenalpasti dan kami sedang bekerja untuk menyelesaikannya. Maaf atas kesulitan ini dan kami akan terus memberikan kemas kini!”
Ketika gangguan berlaku, pengguna yang cuba mengakses laman chatgpt.com hanya dapat melihat skrin dengan mesej, “ChatGPT kini tidak tersedia.”
Kemarahan dan kekecewaan pengguna turut diluahkan di media sosial.
“#ChatGPT tergendala. Nampaknya semua orang kena siapkan tugasan cara lama,” tulis seorang pengguna di X.
Gangguan ini bukan kali pertama berlaku. Bulan lalu, ChatGPT turut menghadapi masalah sama walaupun hanya untuk tempoh yang singkat.
Sam Altman, Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, sebelum ini mengakui cabaran mengekalkan kestabilan platform yang kini menjadi laman web kelapan paling popular di dunia menurut Similarweb.
“ChatGPT tergendala selama 30 minit hari ini. Kami jauh lebih baik dari segi kebolehpercayaan berbanding sebelum ini, tapi masih banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya.
Dengan ChatGPT kembali berfungsi, pengguna kini boleh menyambung semula tugas mereka seperti biasa. Namun, insiden ini jelas menunjukkan tekanan besar yang dihadapi platform AI dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat. – JURNAL