Victor Malaysia tampil mengeluarkan permohonan maaf rasmi berhubung insiden bendera Malaysia yang terbalik pada jersi pemain badminton negara, Lee Zii Jia, semasa Jelajah Dunia Akhir BWF 2024. Syarikat peralatan sukan badminton itu menjelaskan bahawa kesilapan tersebut tidak disengajakan dan mereka sedang menjalankan siasatan menyeluruh.
“Dengan rendah hati, kami memohon maaf kepada peminat badminton Malaysia dan Lee Zii Jia atas kesilapan pada jersi semasa pertandingan hari ini. Kesilapan ini tidak mencerminkan rasa hormat kami terhadap Malaysia dan kami sedang mengambil langkah-langkah untuk memastikan kejadian serupa tidak berulang,” ujar Victor dalam kenyataan rasmi mereka.
Bendera Malaysia adalah simbol perpaduan dan identiti negara, dan kesilapan ini tidak disengajakan. Victor Malaysia mengekalkan komitmen mereka terhadap kebanggaan dan kehormatan dalam mewakili negara di persada antarabangsa.
Dalam insiden yang berlaku semasa perlawanan dengan pemain Taiwan, Chou Tien Chen, Lee Zii Jia dipaparkan memakai bendera Jalur Gemilang terbalik pada jersinya. Bagaimanapun, sebagai pemain profesional yang disponsor oleh Victor, jersi Zii Jia bukan dikeluarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia.
Dengan tegas, Victor Malaysia memberikan jaminan bahawa mereka akan terus menghormati simbol kebangsaan dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi mengelakkan kejadian serupa di masa akan datang. – JURNAL