Perkhidmatan feri penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah akan ditambah empat trip untuk dua destinasi itu sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Jumlah trip perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah pada 21 Januari ini adalah sebanyak sembilan trip manakala dari Kuala Kedah ke Langkawi, 11 trip.
Lembaga Pengarah Syarikat Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Ku Azhar Ku Abdul Razak, berkata hasil pemantauan trend pembelian tiket secara dalam talian pada tarikh berkenaan melalui Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah, menunjukkan peningkatan secara mendadak.
“Berikutan itu, pihak konsortium mencadangkan jadual feri tambahan pada tarikh berkenaan, bermula jam 11 pagi, 1 tengah hari, 3 petang dan 5 petang dari Langkawi ke Kuala Kedah manakala dari Kuala Kedah pula bermula jam 2 petang, 4 petang, 6 petang dan 8 malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, konsortium juga bercadang untuk memperbanyakkan lagi trip pelayaran feri tambahan sepanjang cuti Tahun Baharu Cina ini melalui Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah pada 19 Januari hingga 29 Januari, bermula 7 pagi hingga 7 malam sekiranya trend pembelian tiket meningkat.